Khamis, 24 Mei 2012

Sekapur Sirih

 Cogan kata SK Tanjung Puteri Resort


"BERSAMA MENJULANG SKTPR"

Cogan kata “Bersama Menjulang SKTPR” telah dipilih sebagai cogan kata di sekolah ini adalah juga diambil sempena cogan kata PPD Pasir Gudang iaitu “Kerja Sepasukan Meraih Kegemilangan”. Kerja sepasukan inilah yang dituntut oleh mana-mana organisasi termasuk sekolah.
Kejayaan sesebuah sekolah selalunya bergantung pada keupayaan dan kesungguhan warganya untuk  menuju kecemerlangan. Untuk mencapai kecemerlangan perlu ada konsep kebersamaan dalam semua bidang. Penekanan pada konsep kebersamaan perlu ditanam dan dipupuk pada setiap warga sekolah sama ada guru, staf, ibu bapa dan juga murid.  Setiap warga sekolah perlu merasai nadi denyut setiap aspirasi sekolah yang telah dipersetujui bersama. Langkah yang diatur mesti sederap menuju kecemerlangan. Segala usaha dan doa hendaklah ke arah perkara yang sama iaitu kecemerlangan SKTPR. Warga sekolah mesti menyumbangkan sesuatu yang dapat memberikan sesuatu impak yang besar kepada sekolah ke arah kecemerlangan.  Sikap mementingkan diri dan tidak ambil tahu perlu dikikis daripada sanubari setiap warga.
Penglibatan ibu bapa perlu dalam banyak urusan sekolah. Ibu bapa berlu diberitahu tentang perkembangan semasa sekolah sama ada dari segi perkembangan kurikulum, kokurikulum  dan juga sahsiah anak-anak mereka. Kejayaan akan lebih bermakna jika semua warga bekerjasama dan bersepakat dalam menjulang SKTPR. SKTPR yang kami sayangi ini akan dapat diletakkan dalam kelompok sekolah terbaik dan dikenali jika setiap warga sekolah memikirkan bersama, melakukan bersama perkara-perkara yang diluar kebiasaan hingga mencapai sesuatu yang luar biasa.  Sesuatu program yang hendak dilaksanakan perlu ada pakatan yang sebulat suara dan melakukannya secara bersama. “Team Work” dan “Team Building” perlu diperkukuhkan  agar kejayaan manis dikecapi bersama. 

- Ditulis oleh En. Mohd Jafaar Bin. Abd. Rahim Guru Besar SKTPR-

Logo SKTPR
 Terdiri dari 3 warna utama iaitu Biru, Kuning dan Merah. 
Motto SKTPR ialah Ilmu Asas Kecemerlangan

Lagu Sekolah
SK Tanjung Puteri Resort
Terukir indah namamu
Di sini hati kami terpaut
Untuk menuntut ilmu
Kau harapan nusa dan bangsa
Sekolah kami yang berjasa
Namamu dijaga sentiasa
Harum sepanjang masa
Janji kami terus terpahat 
Mencapai kejayaan yang gemilang
Kini berusaha penuh semangat 
Ilmu asas kecemerlangan
Terima kasih kami ucapkan
Pada semua guru yang budiman
Jasa dan baktimu tidakkan dilupakan
Jadi kenangan sepanjang zaman
Jadi kenangan sepanjang zaman